Monday, March 2, 2009

Mari Berdoa

Ramai ibu bapa bingung untuk menerangkan kepada anak-anak kecil apakah pengertian berdoa kepada Yang Maha Pencipta. Ini kerana kanak-kanak mudah keliru dan biasa menganggap setiap doanya pasti dimakbulkan Allah S.W.T.

Bagaimanakah caranya mendidik anak-anak supaya memahami kepentingan berdoa dan membimbing mereka supaya tidak menyalahgunakan doa untuk hajat yang negatif?

Cuba praktikkan beberapa tips ini dalam usaha anda untuk menjelaskan maksud doa kepada kanak-kanak.


1- Berdoa secara sepontan

Latihlah anak supaya berdoa secara sepontan dengan menggunakan bahasa yang mudah. Doa yang bertunjangkan hafalan dalam bahasa arab mungkin menimbulkan kesukaran kepada mereka, gunakan sahaja bahasa yang kita gunakan seharian.


2- Berdoa sebagai tanda terima kasih

Ajar anak anda untuk bersyukur atas kesenangan yang dimiliki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Beritahu mereka berdoa bukan saja untuk meminta sesuatu hajat daripada Allah S.W.T. tetapi juga sebagai tanda terima kasih.


3- Tuhan mengetahui segalanya

Yakinkan anak-anak bahawa Allah S.W.T. dapat mendengar apa saja permintaan mereka samada yang baik mahupun sebaliknya. Anak-anak mungkin menganggap agak sukar untuk mendapat perhatian sepenuhnya dari ibu bapa memandangkan rutin yang ketat, anggapan itu mungkin turut ditujukan kepada Yang Maha Pencipta kerana kurang pemahaman.


Oleh itu sebagai ibu-bapa, luangkan waktu bersama mereka untuk mendengar dan menjawab segala keluhan dan permintaan anak-anak secara bijaksana.



Beritahu mereka bahawa Allah sentiasa berada dekat dengan mereka pada bila-bila masa saja untuk mendengar segala keluhan seandainya anda dan ahli keluarga lain sedang sibuk.



4- Mengakui kesalahan yang dilakukan

Didiklah anak anda supaya sentiasa berhati terbuka dengan mengakui kesalahan yang telah mereka lakukan. Ajarlah mereka cara-cara berdoa memohon keampunan dari Allah S.W.T.


Tunjukkan kepada mereka dan biarkan mereka berdoa sendirian.



5- Yakin dengan Allah

Pupuklah anak-anak dengan perasaan yakin dan pasrah dengan ketentuan Tuhan. Mungkin agak sukar untuk menjelaskan kepada mereka bahawa tidak semua doa itu dimakbulkan tetapi cubalah sedaya upaya untuk menjelaskannya.


Yakinkan mereka bahawa setiap doa mereka itu didengari Allah cuma mungkin jawapan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Ajar mereka supaya tidak mudah berputus asa.


Sentiasa melatih mereka untuk memuji Allah, bersyukur dengan rezeki yang diberi, memohon kepadaNya dan yakin dengan kebesaran Allah S.W.T.

No comments: